Sunday, August 31, 2014

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta



Syukur kehadirat Allh swt kerana memberi keizinan kepada aku untuk dilahirkan di Malaysia, bumi bertuah. Bumi yang tidak ada di mana-mana tempat didunia. Warisan yang unik, berbilang bangsa dan bangsa yang saling hormat menghormati. Lahirnya aku dibumi ini dalam keadaan yang aman dan tiada lagi pertumpahan darah. Aku anak merdeka!

Lebih 30 tahun aku menyambut kemerdekaan, tetapi tahun ini merupakan tahun yang aku rasakan agak terkesan sambutannya. Semangat patriotik yang sudah lama tidur dalam diri kini bangkit semula. Tidak seperti tahun-tahun sudah, setiap kali sambutan kemerdekaan pasti disambut dengan laungan merdeka pada jam 12 disusuli konsert dan sekali-sekala letupan bunga api. Manakala dipagi hari pula, acara perbarisan akan dijalankan. Maka lintas langsung di kaca televisyen pasti menunjukkan pancaragam serta badan beruniform berkawad serta memberikan tabik hormat kepada DYMM Agong serta barisan kepimpinan negara.

Tahun ini sambutannya agak berbeza pada diriku kerana ianya sedikit mengusik emosi. Terasa kesannya lebih mendalam berbanding sambutan luaran. Aku juga hairan, tidak pula aku libatkan dalam aktiviti-aktiviti sambutan seperti acara perbarisan yang pernah aku sertai pada tahun 2008. Namun setelah aku fikir-fikirkan mungkin terdapat beberapa faktor yang memberikan makna baru disebalik kemerdekaan yang ke-57:

1. Tema - Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta
Tidak seperti tema tahun sebelumnya - 'Janji Ditepati' yang langsung tidak dapat aku hayati sebagai seorang warga negara. Apa signifikannya janji ditepati dan kemerdekaan. Namun sebelum-sebelumnya juga lebih banyak berkisar tentang perpaduan serta wawasan. (Untuk list penuh sehingga 2011, klik di sini). Walaupun ianya tema yang baik, namun tema kali ini membuatkan seseorang itu merenung kembali sejarah silam dan memberi kesedaran tentang erti sebuah cinta pada tanah air.

Tema kali ini juga tidak lari daripada lirik lagu Allahyarham Sudirman - Warisan yang dinyanyikan penuh dengan emosi yang digali. Sekiranya diberi mikrofon, sudah tentu aku dapat nyanyikan dengan penuh penghayatan dengan melodi yang kuat dan lirik yang mendalam. Lagu ini juga terngiang-ngiang dalam minda semasa memandu atau berehat di rumah. Liriknya sangat menginsafkan. Cuba dengar dan hayati klip video di bawah.